Definisi
Takrifan tentang Bahasa Melayu Klasik perlu dibuat terlebih dahulu sebelum kita memahaminya. Merujuk kepada perkataan klasik, Kamus Dewan (!986 : 590) mentakrifkannya sebagai kesenian atau kesusasteraan yang lama atau yang mempunyai sifat-sifat yang tidak lagi terpakai; yang tinggi dan abadi nilainya atau lawan bagi perkataan moden.Takrifan ini menjelaskan kepada kita bahawa bahasa Melayu Klasik diakui kepenggunaannya pada suatu masa dahulu. Namun, perubahan masa dan zaman menyebabkan bahasa ini tidak lagi menjadi wahana kepada para pengkaji sebagai bahan kajian dan penyelidikan tentang perkembangan dan pertumbuhannya.
Ruang Lingkup Bahasa Melayu Klasik
Bahasa Melayu Klasik bermula pada abad ke-14 hingga awal abad ke-19. Zaman permulaan bahasa Melayu Klasik ditandai dengan penemuan prasasti di Ulu Berang Kuala Terengganu bertarikh 702 H bersamaan 1303 Masehi.
Selain penemuan prasasti tersebut terdapat juga prasasti bahasa Melayu Klasik terutamanya di negeri Kedah, Kelantan, Perak, Pahang, Negeri Sembilan dan Pengkalan Kempas. Ada juga prasasti yang ditemui di Sumatera, contohnya di Jambi, Riau, Sumatera Selatan, Acheh dan lain-lain lagi (Amat Juhari Moain. 1994)
Bukti-bukti kewujudan bahasa Melayu Klasik juga boleh ditemui dalam bentuk manuskrip. Pengkaji-pengkaji menganggap sebanyak 12,000 manuskrip di temui tetapi semuanya tersimpan di luar Negara. Manusrip yang tertua sekali ialah surat Sultan Ternate, Baluku kepada Raja Portugis bertarikh 1521 Masehi ( Ahmat Adam , 1992 ).
Manakala manuskrip bentuk buku yang paling tua yang ditemui setakat ini ialah kitab Aqa'id Al-Nasafi yang bertarikh pada 1590 M (998 H). Manuskrip lain yang ditemui bagi membuktikan kewujudan bahasa Melayu Klasik ialah manuskrip Tutinameh (1600M), Hikayat Seri Rama (1633 M), surat Raja Acheh kepada Harry Middleton (1602M) dan surat Emas Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam, Acheh kepada Raja Inggeris, King Jame 1 (1615 M).( Nik Safiah Abd. Karim. 1992. Bahasa Melayu Moden : Kemuncak Tradisi Melaka-Johor-Riau. Dlm S. Othman Kelantan (pngr.) 100 Tahun Pergerakan bahasa Dan sastera Melayu 1888 - 1988 : 38-53. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.)
Dalam kajian yang berhubung dengan perkembangan Bahasa Melayu, terdapat percanggahan pendapat antara para sarjana. Misalnya Prof. Dato' Asmah Haji Omar dalam bukunya Susur Galur Bahasa Melayu( Kuala Lumpur . DBP : 1985) menjelaskan bahawa bahasa ini berkembang dari abad ke-13 hingga ke-17 masehi. Manakala Prof. Dato' Ismail Hussien melalui bukunya Tamadun Melayu Jilid Dua (Kuala Lumpur. DBP : 1993) menyatakan bahasa Melayu berkembang dari abad ke-13 dan ke-14 masehi.
Namun begitu, apa yang perlu ditegaskan di sini , bermula abad ke-14 hingga ke abad 19 masehi Bahasa Melayu telah menjadi bahasa perantaraan utama bagi masyarakat ketika itu. Malah ada di kalangan pengkaji menyamakan bahasa ini dengan bahasa Latin dan Perancis kerana penggunaannya begitu meluas iaitu sehingga dituturkan di India dan juga Eropah ( Abdul Samad Ahmad : 1966 )
No comments:
Post a Comment