Bahasa Jiwa Bangsa...

Merengeknya si kecil adalah satu lambang,

Nasihatnya si ibu adalah satu lambang,

Tegurannya si bapa adalah satu lambang,

Dan mengajarnya seorang guru adalah satu lambang.


Ku hayati lambang ini penting,

Kerana salah caranya ramai yang melenting,

Kadang- kadang gunanya di saat genting,

Supaya musuh jatuh tersungkur berguling.


Tepat caranya lambang ini di meja runding,

Silap langkah aturnya digelanggang debat berdinding,

Kepada yang muda harus menjeling,

Supaya yang tua tidak menggeleng.


Intonasinya lambang harus tepat,

Susun atur kata lambang harus padat,

Supaya si pendengar dapat manfaat,

Moga hendaknya si penutur dapat berkat.


Dikatakan bahasa itu jiwanya bangsa,

Dihujahkan lambangnya bangsa adalah bahasa,

Agar terbinanya apa yang dikatakan nusa,

Supaya tertegak utuhnya agama.


Nukilan: Affull_HB


Wednesday, 27 July 2011

Sajak: Aku SIAPA???

Aku adalah manusia biasa,
Tiada kuasa yang berbisa…
Apatah lagi dapat merasa,
Takdir Tuhan Maha Esa…

Tiada yang dapat ku banggakan,
Pada diri penuh kekurangan…
Apatah lagi menimbang kelebihan,
Kerna aku makhluk berTuhan…

Aku manusia yang lemah,
Berlari sedikit terasa lelah…
Apatah lagi untuk menjelajah,
Kuasa Tuhan tiada berbelah…

Tiada yang dapat ku sombongkan,
Pada diri tanah asal kejadian…
Apatah lagi perlu diingatkan,
Dari tanah juga tempat dikembalikan Tuhan…

Aku dilahirkan sebagai manusia,
Yang tidak mengetahui pelbagai rahsia…
Apatah lagi duduk ku hanya di Asia,
Keagungan Tuhan tiada yang sia- sia…

Nukilan: Seppoll Kampar

Sajak: Secebis Rasa Ingin Pergi...

Secebis rasa ingin pergi…
Ke dunia fantasi yang belum pasti…
Tetapi disaat ku menelan satu kenyataan realiti,
Seakan ku merasakan beratnya tanggungjawab terpikul disisi.

Kegusaran yang menyelubungi di pojok hati..
Tidak ada siapa yang dapat menyelami…
Apatah lagi untuk mensulami simpati…
Pada diri orang- orang yang dianggap terpuji.

Jiwaku disempitkan dengan fahaman pelbagai ideologi…
Yang sering menjadi titik tolak untuk berkelahi…
Apakah telah dilupakan pada ajaran Ilahi…
Sehingga manusia mencari jalan penyelesaian sendiri.

Oh dunia…tidakkah engkau masih mengerti…
Atau sengaja engkau seakan tidak mahu memahami..
Apa yang dicari oleh lubuknya hati..
Adalah kedamaian abadi yang hakiki.

Apakah masih adanya titi- titi dalam melangkahi…
Arus kehidupan yang telah ditelanjangi…
Oleh rasa- rasa tidak sealiran segelumit dihati..
Dalam membentuk peribadi murni???


Nukilan: Coordynatajaya

Sajak: Apabila Malam...

Setelah sang Mentari melabuhkan tirainya….,
Di timur…ia menyapa yang masih nyenyak….,
Di barat…ia melambai yang sudah penat bekerja…,
Itulah putaran paksi pada aturan-Nya yang mutlak.

Dikala senja menjelma di ufuk dunia….,
Unggas- unggas berterbangan di tempat pemakamannya…,
Namun masih ada yang berselerakkan menggali harta dunia…,
Sehingga rukuk dan sujud Maghribnya tiada berpunya.

Sayangnya kepekatan malam itu…,
Digunakan pada yang tidak tentu…,
Yang muda mudinya berpleseran berhibur jitu…,
Yang ibu- bapanya sibuk bekerja menggerutu.

Apa adanya pada kesayupan malam….,
Bayu anginnya membuat mata terpejam…,
Lenanya si mata berjam- jam…,
Tinggallah Tahajjud melambai suram.

Menyinsingnya fajar tanda berakhirnya malam…,
Namun masih ramai yang diulit mimpi semalam…,
Selimut tambah diangkat se akan menyelam….,
Iqamatnya subuh yang di dengar  se akan terdiam.

Nukilan: Affull_HB

Sajak: Penindasan Jiwa...

Hari ini ku rasakan pedihnya…
Hati nurani ku bagai ditusuk sembilu….
Namun tidak ku pedulikan kesakitannya…
Kerna tidak ku ketahui di mana punca sakitnya.

Namun hari ini aku redha…
Akan keputusan- Nya..
Tidak ingin lagi hatiku ini…
Disakiti tanpa tujuan yang mutlak objektifnya.

Kesakitan semalam…
Tidak membawa seribu erti…
Jika hari ini aku terus merintih…
Tanpa bangun mencari sinar-Mu Ya Ilahi.

Tidak ku pedulikan pujian mu duniawi…
Tidak ku kisahkan cacian mu manusiawi…
Tidak ku endahkan kayanya si harta..
Dan tidak ku nafsukan cantiknya kuntuman si bunga.

Cuma yang ku mahukan….
Hidupku riang, hatiku senang…
Lapang dadaku dalam bernafas..
Dan hidupku tenang disamping menenangkan-Nya.


Nukilan: Coordewakalawata

Tuesday, 26 July 2011

Apa Itu Bahasa?


Bertemu kembali kita pada kesempatan ini. Saya mungkin diberi kesempatan untuk menukilkan sedikit bicara bagi mengisi ruang untuk kita mulai berdiskusi. Kerna kita sering berbicara tentang pemerolehan bahasa, jadi ada baiknya kita bercakap tentang apa itu bahasa. 


Ya apa itu bahasa ? Walaupun kita sering menggunakan bahasa ketika berkomunikasi tetapi kita tidak pernah menyelidiki mengapa kita mampu berbahasa. Bahasa adalah sistem yang arbitrari. Bahasa berupa simbol bunyi bersuara yang digunakan oleh manusia dalam berkomunikasi ( Wardhaugh, 1972). Tabiat berbahasa sering ditanda dengan keperluan bagi memahami struktur bahasa itu dapat dikuasai dengan menekankan kepentingan tingkah laku penutur bahasa itu. Bagi golongan behaviourisme kebolehan berbahasa perlukan penutur menguasai aspek tingkah laku berbahasa yang dibina melalui sistem bahasa yang dapat diterima bersama.


Namun demikian bagi golongan mentalis kebolehan bahasa itu bukan sahaja disebabkan oleh peniruan atau pengaruh persekitaran tetapi kebolehan itu disebabkan pengetahuan sedia ada dalam jentera pemerolehan bahasa atau yang disebut sebagai LAD ( Language acquisition device. LAD ini wujud sejak daripada detik kelahiran manusia ke dunia. LAD ini juga wujud dalam akal budi manusia dalam bentuk tatabahasa sejagat.


Ahli mentalis juga menganggap bahasa terbina melalui pembinaan rumus bahasa yang dipelajari. Golongan ini menganggap bahasa terdiri daripada unsur-unsur dimana penggunaannya dikawal oleh rumus tatabahasa yang bersifat formal. Mereka menganggap rumus tatabahasa yang wujud perlu dipelajari secara beransur-ansur sehingga membentuk operasi kesatuan rumus yang utuh dan berupaya melakukan operasi membina ayat.


Berbahasa untuk tujuan berkomunikasi ada banyak caranya, tetapi yang jelas dalam dunia moden ini selain daripada berinteraksi secara bersemuka kita juga mampu menggunakan bahasa dalam bentuk bertulis. Bahasa dalam bentuk tulis juga sudah semakin dipermudah dengan adanya kemudahan digital. Kita mampu berkomunikasi di antara satu sama lain dalam lingkungan beribu-ribu kilometer hatta menjangkau ke angkasa lepas.


Walaupun demikian kita sering alpa bahawa cara berkomunikasi secara tradisi iaitu secara bersemuka dengan mengungkapkan ujaran-ujaran secara verbal sering dikesapingkan. Kita lebih lancar mengeluarkan idea di atas kertas atau mengetik papan monitor dan kemudian ditranmisi dalam bentuk digital. Ironisnya apabila kita dikehendaki bercakap secara biasa dalam bentuk ujaran, kita menjadi gugup dan akhirnya gagal untuk menyampaikan tujuan ujaran sebenarnya.


Fenomena inilah yang cuba kita sebagai guru bahasa cuba untuk mengatasinya. Kita dipertanggungjawabkan untuk melahirkan pelajar yang petah untuk berbicara, berbincang dan berhujah. Oleh itu kita seharusnya meneliti dan mempersiapkan diri dengan pendekatan dan pedagogis yang bertepatan dengan objektif itu.


Dalam perbicaraan kita seterusnya akan diketengahkan ansur maju dalam pendidikan bahasa. Kita mulai dengan kemahiran mendengar. Secara biologisnya kita ketahui bahawa manusia pada peringkat awal dalam pembelajaran untuk berkomunikasi adalah mementingkan kemahiran untuk mendengar. Mana mungkin manusia itu terus-terusan mampu bercakap. Golongan yang mendokong falsafah behaviouris dan mentalis pun menyetujui bahawa pemerolehan berbahasa itu melalui peniruan. Cuma yang membezakan kita manusia dengan haiwan ialah kewujudan LAD itu tadi. Tanpa LAD kita mungkin terus-terusan ditohmah oleh pengikut Drawinisme sebagai makhluk yang berevolusi daripada monyet.

Tuesday, 19 July 2011

Bahasa Melayu Klasik

Definisi

Takrifan tentang Bahasa Melayu Klasik perlu dibuat terlebih dahulu sebelum kita memahaminya. Merujuk kepada perkataan klasik, Kamus Dewan (!986 : 590) mentakrifkannya sebagai kesenian atau kesusasteraan yang lama atau yang mempunyai sifat-sifat yang tidak lagi terpakai; yang tinggi dan abadi nilainya atau lawan bagi perkataan moden.Takrifan ini menjelaskan kepada kita bahawa bahasa Melayu Klasik diakui kepenggunaannya pada suatu masa dahulu. Namun, perubahan masa dan zaman menyebabkan bahasa ini tidak lagi menjadi wahana kepada para pengkaji sebagai bahan kajian dan penyelidikan tentang perkembangan dan pertumbuhannya.

Ruang Lingkup Bahasa Melayu Klasik

Bahasa Melayu Klasik bermula pada abad ke-14 hingga awal abad ke-19. Zaman permulaan bahasa Melayu Klasik ditandai dengan penemuan prasasti di Ulu Berang Kuala Terengganu bertarikh 702 H bersamaan 1303 Masehi.

Selain penemuan prasasti tersebut terdapat juga prasasti bahasa Melayu Klasik terutamanya di negeri Kedah, Kelantan, Perak, Pahang, Negeri Sembilan dan Pengkalan Kempas. Ada juga prasasti yang ditemui di Sumatera, contohnya di Jambi, Riau, Sumatera Selatan, Acheh dan lain-lain lagi (Amat Juhari Moain. 1994)

Bukti-bukti kewujudan bahasa Melayu Klasik juga boleh ditemui dalam bentuk manuskrip. Pengkaji-pengkaji menganggap sebanyak 12,000 manuskrip di temui tetapi semuanya tersimpan di luar Negara. Manusrip yang tertua sekali ialah surat Sultan Ternate, Baluku kepada Raja Portugis bertarikh 1521 Masehi ( Ahmat Adam , 1992 ).

Manakala manuskrip bentuk buku yang paling tua yang ditemui setakat ini ialah kitab Aqa'id Al-Nasafi yang bertarikh pada 1590 M (998 H). Manuskrip lain yang ditemui bagi membuktikan kewujudan bahasa Melayu Klasik ialah manuskrip Tutinameh (1600M), Hikayat Seri Rama (1633 M), surat Raja Acheh kepada Harry Middleton (1602M) dan surat Emas Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam, Acheh kepada Raja Inggeris, King Jame 1 (1615 M).( Nik Safiah Abd. Karim. 1992. Bahasa Melayu Moden : Kemuncak Tradisi Melaka-Johor-Riau. Dlm S. Othman Kelantan (pngr.) 100 Tahun Pergerakan bahasa Dan sastera Melayu 1888 - 1988 : 38-53. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.)

Dalam kajian yang berhubung dengan perkembangan Bahasa Melayu, terdapat percanggahan pendapat antara para sarjana. Misalnya Prof. Dato' Asmah Haji Omar dalam bukunya Susur Galur Bahasa Melayu( Kuala Lumpur . DBP : 1985) menjelaskan bahawa bahasa ini berkembang dari abad ke-13 hingga ke-17 masehi. Manakala Prof. Dato' Ismail Hussien melalui bukunya Tamadun Melayu Jilid Dua (Kuala Lumpur. DBP : 1993) menyatakan bahasa Melayu berkembang dari abad ke-13 dan ke-14 masehi.

Namun begitu, apa yang perlu ditegaskan di sini , bermula abad ke-14 hingga ke abad 19 masehi Bahasa Melayu telah menjadi bahasa perantaraan utama bagi masyarakat ketika itu. Malah ada di kalangan pengkaji menyamakan bahasa ini dengan bahasa Latin dan Perancis kerana penggunaannya begitu meluas iaitu sehingga dituturkan di India dan juga Eropah ( Abdul Samad Ahmad : 1966 )

Definisi Bahasa


Definisi Bahasa


Bahasa ialah kebolehan semulajadi manusia yang berupa satu sistem simbol bunyi yang arbitrari, yang dipersetujui dan digunakan oleh sekelompok manusia untuk berkomunikasi.


Kamus Dewan edisi ketiga (1996:87) bahawa bahasa ialah lambang bunyi suara yang dipakai sebagai alat perhubungan dalam lingkungan satu kelompok manusia.Kamus besar Bahasa indonesia Edisi kedua cetakan kesepuluh (1999:77) pula mendefinisikan bahasa sebagai sistem lambang bunyi yang arbitrari, yang diperguna oleh para anggota suatu masyarakat untuk bekerjasama, berinteraksi dan mengidentifikasikan diri.


Beberapa pendapat mengenai bahasa:


Abdullah Hassan (1984:14) berpendapat “dalam memberi definisi bahasa ini, pentinglah kita kita mengetahui ciri-ciri bahasa tersebut. Ciri-ciri bahasa tersebut akan hanya menjadi jelas apabila kita melihat bahasa dari segi guna dan sifatnya sebagai alat perhubungan”


Raminah Hj Sabran dan Rahim Syam (1985:40)“banyak dasar yang boleh dijadikan asas untuk mendefinisikan bahasa. Sesetengah orang mendefinisikan bahasa dari sudut fungsi bahasa itu sendiri. Bagi mereka bahasa merupakan alat perhubungan atau komunikasi.


Arbak (1983:7) bahasa merupakan bahan langsung yang menjadi tumpuan pengkajian, terutamanya dalam usaha memperlihat kan fungsinya sebagai alat yang dipakai manusia untuk perhubungan.


Raminah Hj Sabran dan Rahim Syam sekali lagi memberi definisi bahawa bahasa sebagai alat untuk menyatakan perasaan, pendapat, fikiran dan sebagainya.


Edward Sapir menjelaskan bahasa ialah suatu sitem lambang-lambang pertuturan yang digunakan oleh manusia secara arbitrari untuk menyampaikan fikiran dan perasaan.


Raja Mukhtaruddin (1980: 25) berpendapat bahawa ahli-ahli bahasa terlebih dahulu mendefinisikan bahasa sebagai suatu sistem lambang-lambang pertuturan yang arbitrari yang digunakan oleh ahli-ahli sesebuah masyarakat.


Lutfi Abas (1975: 4 ) mendefinisikan bahasa ialah data yang dianalisis dalam linguistik. Bahasa ialah suatu sistem simbol-simbol yang terdiri daripada bunyi-bunyi yang diucapkan dalam atau melalui mulut manusia, yang dipersetujui bersama, dipelajari oleh sekelompok manusia dan dengan simbol-simbolnya pula sekelompok manusia itu berkomunikasi.


Asmah Omar (1983: 376) bahasa hanyalah bunyi yang dihasilkan oleh alat-alat ujaran yang terdapat dalam rongga mulut dan rongga tekak manusiaDisebalik ciri fizikal ini terdapat makna.